Tuesday, May 22, 2018
vital-top
updated 3:27 PM UTC, May 22, 2018

'Arwah Afini Seorang Yang Aktif Memanah' - Ibu Saudara

  • Published in Nasional

SEREMBAN - "Arwah seorang yang sangat aktif dalam sukan memanah," kata ibu saudara Nur Afini Roslan, 14, pelajar yang maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas di sini, hari ini.

Beliau yang enggan dikenali ketika ditemui pemberita di perkarangan unit forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berkata kali terakhir berjumpa dengan anak saudaranya itu adalah sekitar Disember lepas.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Nur Afini, anak keempat daripada lima beradik maut, manakala dua cedera iaitu Abdullah Hazlan, 14, pelajar Tingkatan Dua dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pelajar Tingkatan Satu sekolah itu.

Beliau yang menetap di Klang, Selangor berkata di Gemas, arwah tinggal bersama bapanya manakala ibu dan empat lagi adik-beradiknya masih menetap di Kuantan.

Sementara itu, bapa mangsa Roslan Samad, 55, ketika ditemui berkata beliau reda dengan pemergian anaknya dan berharap kejadian malang yang menimpa anaknya itu tidak akan berulang lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan insiden berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan Mohd Yusoff Ismail berharap orang ramai segera menghentikan tular gambar kejadian itu sebagai menghormati perasaan keluarga mangsa.

Terdahulu, jenazah tiba di HTJS untuk dibedah siasat pada pukul 3.45 petang diiringi bapanya dan polis.

Nur Afini dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Sungai Kelamah, Gemas, malam ini.

((BERNAMA))