Wednesday, July 17, 2019
updated 3:40 PM UTC, Jul 17, 2019

KPDNKK Rekod 9,060 Kes, Nilai Rampasan Cecah RM31 Juta

  • Published in Nasional

 

NILAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merekodkan sebanyak 9,060 kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM31.02 juta, sepanjang tahun lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata daripada jumlah itu, sejumlah 284 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM4.12 juta direkodkan bagi kesalahan di bawah aktiviti penyeludupan dan penyelewangan barang kawalan bersubsidi.

Dengan kejayaan ini, ia menyelamatkan wang negara berjumlah RM112 juta terhadap pemberian subsidi barang kawalan daripada diseleweng

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program pelupusan ekshibit di Kompleks Penyimpanan KPDNKK di Nikai hari ini.

Beliau berkata bagi kesalahan di bawah Akta Hakcipta 1987, sebanyak 94 kes dicatatkan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.37 juta manakala di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, terdapat 1,454 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM15.45 juta.

Bagi menangani kos sara hidup dalam memastikan pengguna tidak ditindas oleh peniaga, Mohd Roslan berkata kementerian itu telah mengeluarkan sebanyak 273 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP) kepada peniaga yang disyaki mencatut.

KPDNKK katanya juga akan terus menguatkuasakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) bagi barang keperluan asas demi memastikan harga terkawal dan mampu dibeli rakyat.

"Sepanjang tempoh enam kali SKHMP tahun lepas iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa, Krismas, Deepavali, Kaamatan dan Gawai, rakyat mudah mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan.

Untuk rekod 2017, sebanyak 87,336 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dengan 391 tindakan kes atas pelbagai kesalahan dan nilai rampasan sebanyak RM39,985 serta kompaun sejumlah RM54,250

((SUMBER: BERNAMA))