Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:34 PM UTC, Jun 24, 2018

Perkembangan Banjir Di Johor Malam Ini

  • Published in Nasional

JOHOR BAHRU - Jumlah penduduk yang terjejas banjir di Johor meningkat kepada 1,245 orang daripada 322 keluarga malam ini berbanding 1,122 orang daripada 306 keluarga, petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata sehingga pukul 10 malam tadi , 13 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Mersing, Segamat dan Kota Tinggi.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan memaklumkan seramai 1,111 orang berada di lapan PPS di Mersing, 103 orang di empat PPS di Segamat manakala 31 orang di sebuah PPS di Kota Tinggi.

Di Kota Tinggi, kawasan yang terjejas adalah Kampung Perepat dan penduduk ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Perepat yang dibuka sejak 1.30 tengah hari tadi.

Menurut Datuk Ayub, setakat ini tiada sekolah dilaporkan terjejas dan sesi persekolahan boleh diteruskan seperti biasa, esok.

Katanya, Jalan Telok Arong di Mersing masih ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing/Endau-Jalan Air Papan.

Laluan ke Kampung Batu 7 di Jementah, Segamat turut terputus hubungan akibat dinaiki air dan pemantauan sedang dilakukan berterusan oleh agensi berkaitan serta Pejabat Daerah.

((SUMBER: BERNAMA))