Thursday, June 21, 2018
vital-top
updated 2:39 PM UTC, Jun 21, 2018

Sebuah Pusat Pemindahan Sementara Dibuka Di Sebuyau, Sarawak

  • Published in Nasional

KUCHING-Sebuah pusat pemindahan sementara  di Sebuyau, Samarahan  telah  dibuka 4 petang tadi setelah  paras air di Kampung Lutong, Sebangan, sekitar kawasan itu naik sehingga hampir satu meter.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan malam ini memberitahu bahawa sehingga pukul 8 malam tadi pusat pemindahan di Dewan Kampung Lutong itu kini menempatkan 52 orang dengan  16 keluarga.

Sementara itu Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam satu kenyataan pula memberitahu petugasnya sedang memantau dengan rapi keadaan banjir di kawasan berkenaan, dan paras air kelihatan semakin menyusut, walaupun cuaca mendung pada sebelah petangnya.

Menurutnya ada juga beberapa ketua keluarga di kawasan itu yang enggan berpindah dengan alasan menjaga keselamatan rumah, namun membenarkan anak dan isteri bermalam di pusat pemindahan yang disediakan.

Menurutnya lain-lain agensi yang turut memantau dan membantu operasi pemindahan termasuk anggota pasukan polis, pasukan tentera, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, RELA, pejabat Daerah Sebuyau dan Majlis Daerah Simunjan.

((SUMBER: BERNAMA))