Thursday, June 21, 2018
vital-top
updated 2:39 PM UTC, Jun 21, 2018

Operasi Landasan Terbang 3 Di KLIA Ditutup Buat Sementara

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR- Landasan terbang 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ditutup buat sementara waktu dari 10.30 pagi hingga 4 petang ini bagi memudahkan kerja-kerja penting penyelenggaraan sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatannya.

Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan, berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan rakan-rakan syarikat penerbangan bagi memastikan ia tidak memberi kesan ke atas operasi penerbangan.

Menurut MAHB dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan , KLIA mempunyai dua lagi landasan terbang untuk menyediakan operasi penerbangan yang mencukupi jika berlaku sebarang penutupan sementara satu daripada landasan terbang seperti yang berlaku hari ini.

Katanya para penumpang dinasihatkan supaya menyemak jadual penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Sementara itu, AirAsia dalam satu kenyataan berkata  pengguna perkhidmatan harus menjangkakan penerbangan akan mengalami kelewatan akibat penutupan landasan terbang berkenaan.

Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan melalui e-mel mereka yang didaftarkan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung status penerbangan terkini mereka dan pilihan yang disediakan untuk mereka.

Sehubungan itu, AirAsia menggalakkan para penumpang untuk mengemas kini butiran untuk dihubungi mereka di airasia.com bagi memastikan mereka dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan penerbangan mereka," kata kenyataan itu sambil menambah pihaknya akan memaklumkan perkembangan terbaru, tepat pada masanya, dengan para pengguna perkhidmatan berhubung sebarang perubahan.

((SUMBER: BERNAMA))