Friday, April 27, 2018
vital-top
updated 4:13 AM UTC, Apr 27, 2018

Banjir Di Johor Terus Meningkat Pagi Ini

  • Published in Nasional

JOHOR BAHRU- Jumlah penduduk terjejas banjir di Segamat dan Mersing terus meningkat kepada 527 orang pagi ini berbanding 160 malam tadi dengan pembukaan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Mersing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 7 pagi tadi, seramai 430 penduduk daripada 106 keluarga di Mersing berada lima PPS manakala 97 mangsa daripada 20 keluarga pula ditempatkan di empat PPS di Segamat.

Beliau berkata PPS Sekolah Agama Mersing Kanan dibuka pada 12 tengah malam tadi dan menempatkan 123 penduduk dan PPS Sekolah Kebangsaan Labong pula dibuka 2 pagi tadi dengan menempatkan 109 penduduk

Kawasan terjejas di Mersing juga bertambah apabila sebelum ini hanya Kampung Tenglu Besar dan Kampung Air Papan, namun kini turut berlaku di Kampung Baru Jemari, Kampung Sungai Muka Dua, dan Kampung Orang Asli Labong,

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan di Segamat pula, kawasan terjejas adalah Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Tekam.

Beliau berkata Jalan Telok Arong di Mersing ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan pemantauan sedang dilakukan oleh agensi berkaitan.

Orang ramai yang ingin ke Mersing-Endau boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing atau Endau-Jalan Air Papan

((SUMBER: BERNAMA))