Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:34 PM UTC, Jun 24, 2018

Dua Direman Bantu Siasatan Kes Rasuah Ubah Suai Meter TNB

  • Published in Nasional

SEREMBAN - Dua lelaki direman lima hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung pengurangan bayaran denda atas kesalahan pengubahsuaian kotak meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sebuah kediaman di Johor, awal bulan ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Rasuah Nur Hayatie Mohd Saini selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Karmila Mokhtar, di sini hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 29 dan 28 tahun tersebut ditangkap di Johor semalam selepas pengadu membuat laporan kepada SPRM di sini.

Sumber berkata pada 2 Jan lepas, suspek pertama berusia 29 tahun yang merupakan kontraktor TNB untuk kerja-kerja pemeriksaan meter disyaki meminta RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan mendapatkan pengurangan bayaran denda sebanyak 50 peratus selepas dikesan mengubah suai meter kediamannya.

Semalam, suspek menerima sebanyak RM1,000 dan wang itu kemudian dibahagikan sama rata dengan seorang lagi rakan subahatnya yang berusia 28 tahun sebelum kedua-duanya ditahan secara berasingan pada 4.20 petang dan 8.50 malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

((BERNAMA))