Friday, December 15, 2017
vital-top
updated 8:49 AM UTC, Dec 15, 2017

Raub Dilanda Banjir Sekali Lagi, 235 Penduduk Terjejas

  • Published in Nasional

KUANTAN - Raub sekali lagi dilanda banjir dengan jumlah yang dipindahkan kali ini lebih ramai, iaitu melibatkan 235 penduduk daripada 64 keluarga.

Mereka ditempatkan di tujuh pusat pemindah sementara setakat 6 pagi tadi.

Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua penduduk terjejas mula dipindahkan secara berperingkat sejak 9.15 malam semalam, setelah kediaman mereka mula dinaiki air berikutan hujan tidak berhenti sejak tengah hari.

Sementara itu menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Zainal Yusoff, Pusat pemindahan pertama yang dibuka adalah di Balai Raya Kampung Temau iaitu pada 9.25 malam, dengan menempatkan seramai 11 penduduk terjejas daripada tiga keluarga diikuti Dewan Kampung Pia yang menempatkan paling ramai penduduk iaitu 92 orang.

Pusat pemindahan lain yang dibuka ialah Balai Raya Kampung Ulu Sungai, Balai Raya Kampung Sega Lama, SK Kampung Chenua, Balai Raya Ulu Rengol dan Masjid Jamek Kuala Semantan.

Zainal juga berkata paras air Sungai Lipis di stesen Batu Malim kini melepasi paras bahaya iaitu 115.2 meter dan terus menunjukkan trend meningkat, manakala air Sungai Dong pula berada pada paras amaran dengan kedalaman 118.4 meter.

 

 

Sumber : BERNAMA