Friday, December 15, 2017
vital-top
updated 8:49 AM UTC, Dec 15, 2017

Beberapa Jalan Utama Di P. Pinang Ditutup Sabtu Ini

  • Published in Nasional

GEORGE TOWN - Beberapa jalan utama di sekitar Timur Laut dan Barat Daya akan ditutup dan dilencongkan Sabtu ini sempena Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komuniti Fun Run yang diadakan di perkarangan pusat beli-belah Queensbay.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang Supt Roslan Ali berkata jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat bermula 8 hingga 11 malam Sabtu.

Bagi daerah Timur Laut, susur dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke pintasan Bayan Indah akan ditutup.

Kenderaan dari pusat bandar George Town yang ingin menghala ke pintasan Bayan Indah akan dilencongkan ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke bulatan Bayan Baru untuk ke Jalan Sultan Azlan Shah," katanya di sini hari ini.

Susur keluar pengkalan polis marin menghala ke Pantai Jerejak juga ditutup dan kenderaan yang datang dari pengkalan marin akan dilencongkan ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu arah ke bulatan Bayan Baru.

Di Barat Daya, terdapat empat jalan dan persimpangan yang akan ditutup iaitu dari bulatan Bayan Baru menghala ke Queensbay dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Jawa, persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Kampung Jawa dan Persiaran Bayan Indah menghala ke bulatan Gold Coast.

 

Sumber : BERNAMA