Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

Filipina Tutup Sekolah, Aktiviti Perikanan Akibat Taufan Melor

Manila - Pihak berkuasa Filipina mengarahkan penutupan sekolah dan menangguhkan aktiviti perikanan serta perkhidmatan feri berikutan taufan kategori tiga bergerak pantas sepanjang pesisiran timur negara itu hari ini.

Biro Kaji Cuaca berkata, Taufan Melor atau dikenali sebagai Nona berada kira-kira 205 kilometer ke timur Pulau Samar dan meningkat daripada ribut kategori dua pada tengah malam semalam, dengan kelajuan angin 150 kilometer sejam.

Ia bergerak di laluan sama dengan Haiyan, taufan kategori 5 yang membadai tengah Filipina pada 2013.

Hampir 8,000 maut atau hilang dalam bencana itu yang turut menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Taufan Melor dijangka tiba di Wilayah Sorsogon di tenggara Pulau Luzon, malam ini.

Pihak berkuasa pengendalian bencana menutup sementara sekolah dan sebahagian pejabat serta memulakan proses pemindahan.

Kira-kira 8,000 penduduk terkandas di pelabuhan selepas pengawal pantai menghentikan semua perkhidmatan feri dan aktiviti perikanan di tengah Filipina. - Reuters

  • Jumlah paparan: 1052