Saturday, January 18, 2020
updated 10:03 AM UTC, Jan 18, 2020

Jutaan Orang Saksikan Gerhana Matahari Di 12 Wilayah Di Indonesia

Jakarta - Jutaan orang termasuk para pelancong asing hari ini mengambil peluang menyaksikan fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku di 12 wilayah di negara ini.

Siaran-siaran televisyen tempatan yang membuat siaran langsung di wilayah-wilayah berkenaan melaporkan orang ramai mengambil kesempatan sempena hari cuti umum hari ini untuk berada di kawasan lapangan seawal 5 pagi waktu tempatan.

Pulau Belitong di Sumatera Timur adalah daerah pertama di Indonesia yang menjadi gelap gelita selama kira-kira satu minit akibat gerhana matahari penuh dan fenomena itu disiarkan secara langsung stesen televisyen tempatan.

Hari ini adalah Hari Nyepi yang disambut penganut Hindu di Indonesia terutamanya penduduk di Bali yang memberhentikan sementara semua aktiviti ekonomi dan sosial selama 24 jam.

Umat Islam pula beramai-ramai menunaikan solat sunat gerhana yang dianjurkan di masjid-masjid termasuk Masjid Istiqlal di kota Jakarta pada kira-kira 7 pagi tadi dan mereka melaungkan takbir "Allahu Akbar" sebaik berlakunya gerhana matahari itu.

Sementara itu di Jakarta, orang ramai membanjiri Planeterium di Taman Ismail Marzuki di sini bagi melihat fenomena gerhana matahari yang ditayangkan dalam sebuah skrin besar.

Timbalan Pengarah Geofisika, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Masturyono dipetik sebagai berkata lintasan pertama bayangan bulan ke matahari di Jakarta tercatat sekitar pukul 6.21 pagi.

Katanya, bagi kawasan Jakarta gerhana matahari berlaku kira-kira 80 peratus dan ia tidak menyebabkan bumi menjadi gelap seperti yang berlaku di kawasan gerhana matahari penuh.

Wilayah-wilayah yang mengalami gerhana matahari penuh ialah Tanjung Pandan (Belitung), Muko-muko (Bengkulu), Palembang, Palangkaraya, Balikpapan, Palu, dan Ternate.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Dunia
  • Jumlah paparan: 287