Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Prayut Tetap Mahu Pilihan Raya Diadakan Pada Julai 2017

Bangkok - Kerajaan tentera Thailand tidak akan berganjak daripada rancangan awalnya untuk mengadakan pilihan raya umum pada Julai tahun depan, kata Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha.

Penegasannya mengenai tarikh pilihan raya itu menyangkal kenyataan pengerusi Jawatankuasa Penggubalan Perlembagaan (CDC) Meechai Ruchupan baru-baru ini mengenai kemungkinan proses pilihan raya ditangguhkan selama beberapa bulan.

"Sekurang-kurangnya pada Julai tahun depan, pilihan raya umum akan diadakan, semuanya akan berjalan mengikut rancangan (kerajaan)," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini pada Selasa.

Selepas mengumumkan draf Perlembagaan pada minggu lepas, Meechai memberitahu media bahawa pilihan raya yang ditetapkan pada pertengahan 2017 mungkin ditunda kerana CDC belum selesai menggubal undang-undang asas berkaitan pilihan raya.

Prayut, yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO), berkata CDC tidak perlu menyiapkan penggubalan semua 10 undang-undang asas berkaitan pilihan raya tetapi menumpukan perhatian kepada undang-undang yang penting dahulu untuk membolehkan pilihan raya diadakan.

Jeneral Prayut yang mengetuai junta tentera dalam rampasan kuasa pada Mei 2014, juga memberitahu media bahawa kerajaan akan mengumpulkan pendapat mengenai draf perlembagaan itu dan menyerahkannya kepada CDC.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Dunia
  • Jumlah paparan: 233