Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

OIC kecam tindakan rejim Israel musnahkan tanah perkuburan Islam berhampiran Masjid Al-Aqsa

  • Published in Berita Dunia

BAITULMAQDIS, 14 Oktober - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam tindakan terkutuk rejim Israel memusnahkan tanah perkuburan Islam berhampiran Masjid Al-Aqsa.

Beberapa kubur di kawasan perkuburan Al-Yusufiye yang dianggarkan berusia 1,000 tahun dimusnahkan menggunakan jentera milik pihak berkuasa Yahudi.

Difahamkan, tindakan tersebut bagi memberi laluan kepada rancangan Israel membangunkan sebuah taman di lokasi tersebut.

Agensi berita Anadolu melaporkan, tindakan tersebut mencetuskan kemarahan penduduk Palestin.

Ia berikutan kubur yang dimusnahkan itu adalah tempat persemadian penduduk Islam yang terkorban dalam konflik antara tahun 1948 dan 1967.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Perlindungan Tanah Perkuburan Islam, Ahmed al-Dajani berkata, mahkamah Israel memberi kebenaran untuk melakukan kerja-kerja di tapak berhampiran tanah perkuburan itu.

Beliau menegaskan, Israel bakal berdepan tindakan undang-undang terhadap perbuatan tersebut.

Tanah Perkuburan Al-Yusufiye yang terletak bersebelahan tembok mengelilingi kota lama adalah satu daripada tanah perkuburan Islam tertua di Baitulmaqdis.

Sebelum ini, rejim Israel cuba memusnahkan tangga bersejarah menuju ke kota lama dan Masjid Al-Aqsa, namun, langkah itu dihalang oleh penduduk Palestin.