Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

Tiada bukti kukuh sokongan keperluan dos ketiga vaksin COVID-19 - WHO

  • Published in Berita Dunia

GENEVA, 14 Julai - Setakat hari ini, belum ada bukti kukuh boleh menyokong bahawa individu yang sudah menerima vaksin lengkap COVID-19 memerlukan dos ketiga atau penggalak.

Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Soumya Swaminathan juga mengingatkan bahawa usaha untuk mencampur dan menyesuaikan dos vaksin hanya akan mewujudkan keadaan tidak menentu sekiranya rakyat mula memutuskan bila dan siapa yang harus mengambil dos ke dua, ketiga atau keempat.

Beliau menyifatkan situasi itu hanya mewujudkan keadaan atau trend berbahaya.

Tambahnya, data yang ada mengenai saranan itu termasuk mencampurkan dos vaksin berbeza amat terhad dan menasihatkan supaya menunggu data kajian menyeluruh yang sedang dijalankan.

Pendirian sama turut disokong Ketua Program Imunisasi WHO, Ann Lindstrand yang mendesak negara negara terlibat mempertimbang semula keputusan untuk menawarkan dos tambahan kepada penduduk mereka.

Isnin lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus menegur Pfizer dan pengeluar vaksin lain kerana memberi tumpuan untuk membangun dan menjual dos vaksin tambahan kepada negara-negara berpendapatan tinggi tatkala banyak negara-negara belum mevaksinasi pekerja kesihatan mereka dan serta golongan rentan.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Pfizer mengumumkan dos ketiga vaksin COVID-19 diperlukan untuk memastikan perlindungan pada tahap tinggi terhadap virus COVID-19.