Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

WHO saran lakukan ujian saringan di sekolah, biarpun sifar kes positif

  • Published in Berita Dunia

COPENHAGEN, 3 Julai - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan ujian saringan COVID-19 harus dijalankan di sekolah-sekolah biarpun tiada kes direkod.

Pertubuhan itu percaya ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dan ujian antigen pantas seharusnya dijalankan walapun tiada simptom dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Pengarah WHO bagi Eropah, Hans Kluge, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama UNICEF dan UNESCO berkata, pemerintah perlu meneruskan langkah-langkah tepat bagi membantu mengekalkan kadar jangkitan rendah dan mengelakkan penutupan sekolah yang berterusan.

Beliau berkata, penutupan sekolah yang berlanjutan memberi kesan berbahaya ke atas kesejahteraan pendidikan, sosial dan mental kanak-kanak serta golongan belia.

Inisiatif melaksanakan ujian saringan COVID-19 di sekolah adalah alternatif seterusnya menangani kadar keciciran dan kesan kesihatan yang berhubung kait dengan pembelajaran.

Bagi agensi-agensi PBB, penutupan sekolah seharusnya dipertimbangkan hanya sebagai ikhtiar terakhir jika berlaku lonjakan jumlah kes COVID-19 yang tidak mampu dikawal oleh langkah-langkah lain.