Wednesday, 21 April 2021

updated 8:34 AM UTC, Apr 21, 2021

Perarakan besar-besaran pindah 22 mumia Diraja Mesir

  • Published in Berita Dunia

KAHERAH, 4 April - Sebayak 22 mumia Diraja Mesir dipindahkan ke lokasi baharu di Muzium Tamadun Nasional Mesir di Fustat dalam satu perarakan bersejarah yang digelar 'Perbarisan Emas Firaun' semalam.

Proses pemindahan yang turut disiar secara langsung oleh televisyen tempatan dilakukan menggunakan kereta berhias gaya Mesir kuno di bawah kawalan ketat pasukan keselamatan.

Laluan bagi konvoi membawa 18 mumia raja dan empat mumia permaisuri yang berusia lebih 3,000 tahun itu melalui jalan-jalan raya yang dipasang dengan lampu dan sepanduk sejauh tujuh kilometer sebelum tiba ke muzium terbabit.

Proses pemindahan dan perarakan berjalan mengikut barisan kronologi mumia yang diatur berdasarkan tahun berkuasa.

Setiap mumia diletakkan di dalam kapsul berisi gas nitrogen untuk perlindungan dan kereta yang direka khas untuk memastikan keselamatan dan kestabilan mumia.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-sisi menerusi catatan di akaun media sosialnya berkata, proses tersebut adalah bukti kehebatan tamadun unik yang memanjangkan lagi kedalaman sesebuah sejarah.

Kesemua mumia terbabit akan menjalani proses pemulihan di makmal khas setelah tiba di Muzium Negara Tamadun Mesir selama 15 hari sebelum sedia dipamer kepada orang ramai bermula 18 April ini.