Wednesday, 21 April 2021

updated 7:33 AM UTC, Apr 21, 2021

Perintah Darurat dan protes berterusan di Myanmar jejas pusat komersial dan kehidupan normal rakyat

  • Published in Berita Dunia

MYANMAR, 3 Mac - Perintah Darurat dan protes berterusan di seluruh bandar utama Myanmar memberi kesan kepada perniagaan tempatan dan kehidupan normal rakyat.

Pusat komersial mula sepi dan rutin rakyat terus terjejas di beberapa lokasi tumpuan semakin lengang ekoran kebimbangan berlaku keganasan susulan protes anti-kudeta yang tiada kesudahan.

Di pasar terbesar di kawasan bandar utama Nay Pyi Taw, ibu kota Myanmar, jumlah pengunjung semakin berkurangan berbanding sebelum episod rampasan kuasa berlaku.

Keadaan bertambah buruk selepas lokasi tersebut dilabel sebagai lokasi panas yang menjadi tumpuan perusuh melakukan protes.

Bandar yang rata-ratanya dihuni penjawat awam dan golongan peniaga menerima kesan besar selepas pusat komesial, bank-bank utama dan nadi ekonomi setempat mengalami penutupan berpanjangan selepas penguatkuasaan perintah Darurat.

Hampir semua bank utama di bandar tersebut ditutup melebihi 20 hari setakat ini dengan hanya beberapa perkhidmatan ATM berfungsi.

Kebimbangan kitaran ekonomi terjejas semakin memuncak berikutan sektor perniagaan terus merosot selepas kebanyakan penduduk mengambil keputusan kekal di rumah dan mengehadkan aktiviti luar.