Thursday, 4 March 2021

updated 3:31 PM UTC, Mar 4, 2021

Koordinat pesawat telah dikenal pasti, usaha mencari digiatkan

  • Published in Berita Dunia

JAKARTA, 10 Januari- Operasi pencarian kini berfokus kepada mendapatkan kotak hitam pesawat, selepas koordinat pesawat yang terhempas di perairan itu telah dikenal pasti.

Panglima Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto berkata pasukan SAR telah mengenal pasti kotak hitam itu di satu koordinat yang berada pada kedalaman 23 meter di perairan berkenaan.

Setakat pukul empat petang tadi, lima bungkusan cebisan mayat telah dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia (POLRI) di Kramat Jati.

Ketua Rumah Sakit Polri Kramat Jati, Asep Hendradiana berkata, pihaknya juga sedang mengumpul DNA anggota keluarga para penumpang pesawat berkenaan.

Dalam pada itu, Biro Komunikasi dan Informasi Publik, Kementerian Perhubungan memaklumkan, beberapa bahagian pesawat sudah ditemukan.

Ini termasuk pecahan pesawat, jaket penyelamat, beberapa bahagian dalaman pesawat dan barangan penumpang seperti pakaian, beg dan kad identiti pengenalan penumpang.

Pelbagai objek berkenaan juga cebisan mayat ditemukan di perairan Kepulauan Seribu pada kedalaman 23 meter di dasar laut.

Pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air itu terputus hubungan selepas berlepas pada 2.36 petang Waktu Indonesia Barat dari Jakarta menuju Pontianak, sebelum terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta semalam.

Penerbangan Sriwijaya SJ-182 itu membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal, yang kesemuanya warga Indonesia.