Thursday, 4 March 2021

updated 3:31 PM UTC, Mar 4, 2021

TERKINI: Serpihan ditemukan, belum sahih milik Sriwijaya Air

  • Published in Berita Dunia

PONTIANAK, 9 Januari- Perkembangan nahas pesawat komersial Sriwijaya Air yang dikhuatiri terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Indonesia.

Agensi mencari dan menyelamat Indonesia, BASARNAS telah menemukan serpihan disyaki pesawat di perairan utara Jakarta.

Bagaimanapun belum dapat disahkan lagi sama ada serpihan tersebut dari pesawat Sriwajaya Air.

Menurut pihak keselamatan antara serpihan yang ditemui itu adalah kabel, perca kain jeans dan besi.

Pesawat jenis Boeing 737-500 itu dilaporkan membawa 62 penumpang termasuk kru serta tujuh kanak-kanak dan tiga bayi.

Terdahulu, berdasarkan laporan televisyen tempatan terdapat nelayan mendakwa terlihat pesawat terhempas malah mereka turut menemukan beberapa serpihan kecil terapung di perairan berkenaan.

Pesawat Sriwijaya Air berlepas dari Jakarta 2.36 petang waktu Indonesia Barat menuju Pontianak.

Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan adalah empat minit kemudian iaitu pada pukul 2.40 petang waktu Indonesia Timur.

Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, pukul 3.15 petang waktu Indonesia Timur atau 4.15 petang Indonesia Barat.

Berdasarkan data FlightRadar24 pesawat itu mencapai ketinggian hampir 11,000 kaki sebelum turun kepada 250 kaki yang kemudiannya terputus hubungan.

Jurucakap Sriwijaya Air, Theodora Erika berkata pihaknya sedang mengumpulkan maklumat lanjut dengan segera sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.