Logo

Rusia giat uji keberkesanan 'Sputnik-V' usaha untuk penghasilan segera vaksin besar-besaran

RUSIA, 13 Oktober - Di Rusia, fasa ujian klinikal membabitkan sukarelawan terutamanya petugas barisan hadapan dalam kalangan pengamal perubatan terus giat dilaksanakan.

Kira-kira 30 sukarelawan kesihatan mendapatkan vaksin COVID-19 Rusia yang dinamakan sebagai "Sputnik-V" di bandar Tver di Rusia, kira-kira 200 kilometer di barat laut Moscow.

Ketua Kesihatan wilayah Tver, Sergei Kozlov berkata, pengujian terhadap petugas berkenaan dalam usaha mendapatkan impak segera keberkesanan vaksin tersebut.

Ini terutama apabila sukarelawan terlibat adalah mereka yang berurusan secara terus dengan pesakit COVID-19 di wilayah berkenaan.

Awal bulan lalu, kira-kira 5-ribu sukarelawan telah diberi vaksin berkenaan.

Menurut Institut Penyelidikan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya Rusia, penelitian mereka terhadap kesemua sukarelawan berkenaan setakat ini mendapati, tidak ada yang dijangkiti COVID-19 terutama mereka yang bertugas di barisan hadapan.

Dalam pada itu, Rusia dijangka mendaftarkan vaksin kedua yang berpotensi mengekang jangkitan COVID-19 pada hujung minggu ini.

Vaksin tersebut telah dimajukan Institut Vektor Siberia, yang menyelesaikan ujian awal vaksin terhadap manusia pada bulan lalu.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.