Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Kenyataan Malaysia pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB ke-75

  • Published in Berita Dunia

PUTRAJAYA, 27 September - Tuan Presiden, Setiausaha Agung, para perwakilan, Tuan-Tuan Yang Terutama, tuan-tuan dan puan-puan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tuan Presiden yang baru dipilih untuk perhimpunan agung ke-75 ini.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden sebelum ini, Tijjani Muhammad-Bande atas komitmen, dedikasi dan kepimpinannya perhimpunan agung sesi ke-74, di sebalik cabaran luar biasa dihadapi dunia dalam mendepani pandemik COVID-19.

Malaysia mengalu-alukan tema perhimpunan agung tahun ini iaitu "Masa Depan Yang Kita Inginkan, PBB Yang Kita Perlukan, Menegaskan Kembali Komitmen Bersama Pelbagai Hala Dalam Memerangi COVID-19 Melalui Tindakan Berkesan Pelbagai Hala."

Saya percaya, tema itu bergema dan diterima baik sesama kita, sekali gus meletakkan kerangka wajar, apa yang dunia perlukan ketika detik ketidak tentuan ini.

Sokongan Malaysia sesuatu yang pasti disertai kerjasama dalam mencapai matlamat perhimpunan agung kali ini.

Sebelum timbulnya 'musuh' terbaharu yang membunuh manusia dalam bentuk COVID-19, dunia sebenarnya sudah pun melalui pelbagai cabaran.

Di kala perang berterusan di pelbagai lokasi di dunia, ekosistem ekonomi global berterusan menghadapi tekanan akibat perang dagang dan gerak politik populis.

Di tengah-tengah semua ini, dunia terus terabai dengan negara-negara terus bertelagah tentang siapa yang perlu mengambil lebih tanggungjawab dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

Semua ini berlaku dilatari pendatang asing miskin yang meninggalkan rumah, bersabung nyawa menempuh perjalanan berbahaya ke negara asing, demi mencari kehidupan yang lebih baik.

Sedikit masa lalu, kita tidak mengetahui sejauh mana COVID-19 menjejaskan dunia.

Lebih buruk, pandemik itu masih memudaratkan anggota masyarakat paling terdedah meliputi wanita dan kanak-kanak, individu kurang upaya, selain mereka yang terpinggir dan terlantar.

Kita mesti ingat yang COVID-19 tidak memilih mangsa dan oleh kerana itu, tidak boleh ada diskriminasi dalam respons kita terhadapnya.

Tiada negara yang terhindar. Pandemik itu telah menyama ratakan semua negara dan bangsa dalam usaha menghasilkan vaksinnnya.

Sehingga atau melainkan kita berjaya menghasilkan antivirus yang mampu menjadi penawar kepada COVID-19, kita tidak boleh mengisytiharkan menang melawan pandemik itu.

Oleh kerana itulah, pembuatan dan penghasilan vaksin perlu dilakukan secara bekerjasama di peringkat antarabangsa, bukan pertandingan antara negara.

Menyelamatkan nyawa patut menjadi keutamaan bersama. Mengatasi impak sosioekonomi yang dirasai kita semua, kita juga perlu berwaspada dengan keganasan yang menjadi ancaman senyap pada saat yang serba tidak pasti ini.

Kita tidak boleh mengetepikan fakta yang kumpulan pengganas boleh melipat gandakan usaha dengan mengambil kesempatan situasi tidak menentu ini untuk menjayakan agenda mereka.

Komunikasi telus, rangkaian yang baik, dan kerjasama pintar lebih hebat di peringkat tempatan dan antarabangsa amat mustahak untuk menentang keganasan dan gerakan pelampau ketika pandemik.

Inilah perang psikologi pada saat kita terdedah, namun kita mesti menguasai hati dan akal fikiran untuk berjaya.

Strategi komunikasi berkesan pada semua saluran yang ada mesti diutamakan untuk memastikan maklumat tidak tepat dan keputusan maklumat diatasi, tanpa melanggar kedaulatan undang-undang mana-mana negara.

Tuan Yang Terutama, tuan-tuan dan puan-puan.

Bagi membendung COVID-19, kerajaan-kerajaan sudah melaksana perintah berkurung dan memperkenal pelbagai inisiatif bagi menjamin tiada pihak kehilangan pekerjaan dan sektor perniagaan tidak gulung tikar.

Kesan terhadap ekonomi dan kewangan akibat pandemik ini benar-benar menjejaskan syarikat-syarikat besar dan kecil.

Kita telah menyaksikan bagaimana segala usaha berdekad-dekad pihak terlibat berakhir dengan kemuflisan atau syarikat terbabit terpaksa diturun taraf pada tahap yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Situasi ini mengakibatkan ribuan orang kehilangan pekerjaan. Kehancuran ekonomi sebegini hebatlah penyebab mengapa tindakan bersama masyarakat global amat diperlukan.

Keperluan mengurangkan impak terhadap nyawa mereka yang dijangkiti amat diperlukan.

Bagi Malaysia, kerajaan telah merangka dan melaksana strategi untuk menangani kesan COVID-19 terhadap sosioekonomi negara.

Kami harap, Malaysia bukan hanya pulih tetapi kembali bangkit lebih gagah pasca pandemik.

Tindakan diambil untuk mencapai kestabilan antara memulakan semula ekonomi negara dan melaksana Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan gelombang jangkitan sememangnya sesuatu yang mencabar.

Malaysia telah melaksanakan reformasi struktur ekonomi bagi mendepani lanskap baharu global pasca COVID-19.

Kami telah mulakan pelaksanaan strategi pemulihan ekonomi disusuli program revitalisasi secara menyeluruh.

Meskipun, ia akan mengambil sedikit masa untuk melihat kesannya, kami akan lakukan yang terbaik untuk menghampiri tahap normal.

Dan kami sedar kami hanya boleh lakukan lebih baik dengan bantuan komuniti antarabangsa. Malangnya, PBB agak perlahan dalam memberi tindak balik terhadap negara anggota yang terjejas COVID-19.

Misalnya, pada beberapa bulan pertama pandemik, Majlis Keselamatan PBB gagal membincangkan isu tersebut walaupun secara terang-terangan pandemik itu telah menimbulkan ancaman besar terhadap keselamatan dunia.

Hanya pada 1 Julai 2020 UNSC mengguna pakai resolusi yang mendesak penghentian segera sebarang pertikaian bagi membenarkan negara-negara terlibat kembali fokus kepada sumber memerangi pandemik.

Ini langkah yang positif, namun, kita hanya dapat bayangkan manfaat langkah tersebut sekiranya ia diambil lebih awal.

Perbezaan di dalam Majlis Keselamatan PBB telah menjadikan badan itu, kerap kali, tidak tegas dan tidak berkesan.

Kita perlu jujur kepada diri kita dan akui selepas lebih tujuh dekad, pastinya nasib keamanan dan keselamatan dunia tidak harus berterusan ditentukan oleh tangan segelintir negara.

Sudah tiba masanya komposisi Majlis Keselamatan lebih menggambarkan keanggotaan semasa PBB. Lima kerusi tetap, yang dikhaskan untuk lima pemenang Perang Dunia yang mempunyai hak veto, telah membuktikan organisasi ini perlu perubahan.

Tidak ada pakatan yang boleh mencapai tujuan yang sama, jika satu pihak berpendapat ia lebih berhak menentukan keputusan berbanding yang lain.

Sejak 1946, hak Veto telah digunakan lebih daripada 200 kali. Tidak ada yang demokratik dalam cara penggunaannya.

Veto boleh membawa kepada penyalahgunaan, sama ada dengan suci, hipokrit atau demi menegakkan kesalahan.

Disebabkan itulah kita perlu menuju kepada proses pembaharuannya.

Salah satu kegagalan PBB adalah situasi di wilayah Palestin yang dijajah. Walaupun telah banyak gesaan daripada masyarakat dunia sejak penubuhan PBB, harapan daripada majoriti terus dinafikan oleh sebilangan kecil yang lain.

Mereka menyembunyikan niat sebenarnya dengan alasan keselamatan negara dan keadilan.

Peperangan yang berlaku dan jutaan hilang nyawa telah menggambarkan ia angkara pelaku yang sama dalam tragedi terburuk, namun memilih untuk kekal tidak sedar.

Demi kedamaian yang kekal di Asia Barat, kata sepakat antarabangsa yang ditetapkan, menepati undang-undang antarabangsa, resolusi PBB, dan Piagam PBB, Israel mesti melakukan beberapa perkara.

Pertama, menghentikan semua aktiviti penempatan haram. Kedua, menarik balik tentera di wilayah Palestin yang dijajah dan negara arab di sekitarnya.

Ketiga, mengembalikan hak tanah dan harta denda kepada pelarian Palestin. Keempat, mengembalikan status asal Baitulmaqdis.

Dan yang terakhir, kembali ke meja rundingan dengan Palestin.

Ini bulan pra-syarat baharu. Ini hanya cerminan terhadap usaha diplomatik selama bertahun-tahun dan kata sepakat yang dicapai hasil rundingan berdekad Israel tidak boleh terus menafikannya.

Israel terus mengancam hak kenegaraan rakyat palestin dengan peluasan penjajahan tanah milik Palestin, terus menafikan hak keselamatan dan kedamaian.

Pendirian Malaysia kekal jelas dan konsisten. Penjajahan adalah menyalahi undang-undang.

Ia melanggar Piagam PBB, Konvensyen Geneva dan resolusi berkaitan dalam Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan.

Pendudukan wilayah secara perang dan paksa adalah menyalahi undang-undang.

Tidak akan ada atau tidak pernah ada kesahihan dalam bersama-sama masyarakat dunia yang lain, Malaysia akan terus menegaskan sokongan merealisasikan negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Satu-satunya jalan ke hadapan adalah melalui rundingan penyelesaian dua negara. Dalam konteks ini, Malaysia menyokong gesaan masyarakat antarabangsa termasuk daripada Setiausaha Agung PBB, Ahli-ahli Kuartet Asia Barat mencari jalan yang dipersetujui untuk kembali berunding, penyelesaian damai.

Kami terus menyeru masyarakat antarabangsa untuk menegakkan hak Palestin dalam menentukan nasib sendiri, yang menjadi salah satu prinsip teras PBB ketika ditubuhkan 75 tahun lalu.

Contoh lain yang menyedihkan adalah penderitaan Rohingya. Ketika kekejaman besar-besaran dilakukan terhadap etnik Rohingya di wilayah Rakhine, ribuan meninggalkan kampung halaman mereka kerana khuatir akan nyawa mereka.

Ramai yang terkorban ketika menyeberangi lautan dan darat demi menyelamatkan diri, sementara ramai yang lain menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang menjanjikan kehidupan yang mereka impikan.

Namun mereka masih sanggup mengambil keputusan meskipun ia mengancam nyawa dan meninggalkan kampung halaman kerana terdesak.

Kesan limpahan krisis di wilayah Rakhine, termasuk penghijrahan besar-besaran rakyat Myanmar telah memberi kesan yang besar bukan sahaja kepada Malaysia, malah negara-negara jiran lain.

Malaysia menerima jumlah pelarian Rohingya terbesar antara negara Asia Tenggara lain.

Sebagai negara membangun yang menanggung kos mengurus dan memberi perlindungan kepada hampir 180,000 pelarian berdaftar dan pencari suaka di negara ini, dengan 86% adalah dari Myanmar, sumber kami semakin nipis.

Walaupun begitu, Malaysia diharapkan dapat melakukan lebih daripada itu untuk menampung kemasukan pelarian. Adakah itu adil?.

Meskipun Malaysia tidak menganggotai Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia telah mengambil tanggungjawab sosial dan kewangan dengan memberi bantuan dan perlindungan kepada pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan.

Sudah tiba masanya negara-negara anggota konvensyen tersebut memikul beban dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah berkenaan dengan menerima lebih ramai pelarian untuk penempatan semula.

Usaha menangani kemasukan pelarian ke sempadan kita adalah salah satu sisi cerita.

Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana masyarakat antarabangsa dapat memainkan peranan yang lebih bermakna untuk mengakhiri kekejaman di Rakhine? Ini hanya dua contoh yang jelas mengapa PBB yang lebih kuat dan lebih baik diperlukan.

Kredibiliti PBB dapat dan mesti dikembalikan, untuk membina masa depan yang kita mahukan, PBB yang kita perlukan.

Ini hanya dapat dilakukan sekiranya kita mendapat keberanian moral dan kemahuan politik untuk melakukan apa yang betul.

Malaysia telah dan akan terus menyokong tindakan yang dipercepat dan laluan transformasi Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari.

Rencana pembangunan kita selalu menjurus ke arah kelestarian persekitaran dan kehidupan, serta telah dimasukkan dalam rancangan pembangunan kebangsaan untuk tempoh lima tahun.

Ia juga telah disertakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia 2030, yang bertujuan untuk memastikan pengagihan pembangunan ekonomi yang adil dan saksama di semua peringkat menjelang tahun 2030, seperti yang dibayangkan oleh Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Sejak Malaysia melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) pada bulan Mac, kami mendapati bahawa bacaan kualiti udara di Malaysia telah meningkat dua kali ganda, daripada 28% kepada 57%.

Kerisauan timbul kerana ia mungkin bersifat sementara kerana pelepasan karbon global dapat meningkat jika kita terus leka dan melakukan pendekatan perniagaan seperti biasa dalam rancangan pemulihan ekonom.

Oleh itu, wabak tersebut harus dianggap sebagai titik perubahan. Penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa untuk menghormati had planet dan menghargai sumber semula jadi.

Sama seperti negara lain, Malaysia juga mementingkan alam sekitar. Pada masa sama, Malaysia adalah salah satu pengeluar minyak sawit terbesar.

Ramai petani dan pekebun kecil bergantung kepada komoditi penting itu untuk mengekalkan kebergantungan kehidupan mereka.

Namun, pengkritik mengaitkan minyak sawit dengan pemusnahan hutan hujan berharga dunia dan kepupusan hidupan liar. Mereka juga mendakwa ia membahayakan kesihatan.

Dakwaan itu jauh daripada kebenaran. Malaysia mempunyai lebih daripada 60 undang-undang dan peraturan yang melindungi hidupan liar dan alam sekitar, kesihatan, keselamatan dan kebajikan pekerja serta kawalan bahan pencemar.

Kami berbangga untuk memaklumkan yang kami berjaya mengekalkan 55% hutan hujan, melebihi 5% daripada komitmen kami sebelumnya.

Tahun ini, PBB berusia 75 tahun. Sejak 75 tahun lalu, PBB menjadi pusat hubungan antarabangsa. Beberapa pihak melihatnya sebagai satu kegagalan, manakala yang lain melihatnya sebagai kejayaan.

Apa pun yang dikatakan, sukar untuk dinafikan bahawa PBB berjaya membawa kemajuan kepada masyarakat sejagat dalam banyak aspek, pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan keselamatan sosial.

Malangnya, sejak kebelakangan ini, komitmen pelbagai hala menjadi kurang meyakinkan kerana banyak negara kurang bersedia untuk menegakkan nilai dan menyelesaikan cabaran bersama.

Kerajaan beralih ke arah dalam, mendorong perspektif nasional yang memperoleh sokongan masyarakat dengan lebih segera.

PBB tidak seharusnya menjadi platform untuk melakukan ini. Ia harus menjadi institusi yang mampu mendengar dan menangani secara kolektif keprihatinan anggotanya dan masalah yang melanda dunia.

Dalam memelihara kestabilan, ketenangan dan kedamaian, Malaysia telah lama percaya bahawa dunia menuntut kerjasama antara semua pihak.

Oleh itu, masyarakat antarabangsa perlu bekerjasama untuk menegakkan sistem berdasarkan nilai sejagat melalui dialog dan kerjasama.

75 tahun sememangnya pencapaian ketara. Oleh itu, janganlah kita melihatnya tanpa tekad untuk menunaikan tanggungjawab bersama.

Kita perlu membangun kembali demi masyarakat hari ini dan generasi masa depan.

Yakinlah yang PBB mendapat sokongan padu Malaysia dalam konteks multilateralisme,berdasarkan tujuan dan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB.

Terima Kasih.