Logo

WHO lancar piagam tingkat keselamatan, kebajikan pekerja kesihatan

GENEVA, 18 September - Pandemik COVID-19 yang melanda dunia menyedarkan kita betapa besarnya tanggungjawab dan pengorbanan pekerja kesihatan untuk melenyap derita dan menyelamatkan nyawa.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, masyarakat dunia terhutang budi kepada pekerja kesihatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi tugas.

Justeru, badan dunia itu melancarkan piagam bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan membela kebajikan pekerja kesihatan.

Dalam piagam tersebut, WHO menekankan tanggungjawab undang-undang dan moral yang harus dimiliki kerajaan untuk memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja kesihatan.

Semua negara juga diminta membangunkan program melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja perubatan dengan lebih baik serta menggabungkannya dengan dasar keselamatan pesakit.

Ia juga menuntut standard lebih kemas untuk melindungi pekerja kesihatan daripada keganasan di tempat kerja dan meningkatkan akses kepada sokongan kesihatan mental.

Majlis Jururawat Antarabangsa mendedahkan ribuan jururawat berkemungkinan besar terkorban akibat wabak itu dengan data dari 44 negara menunjukkan 1,097 kematian pada pertengahan Ogos.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.