Monday, 21 September 2020

updated 1:27 PM UTC, Sep 21, 2020

Lebih 80 terbunuh, 4,000 cedera dalam letupan besar ibu kota Lubnan

  • Published in Berita Dunia

BEIRUT, 5 Ogos - Satu letupan besar menggegarkan ibu kota Lubnan, Beirut menyebabkan lebih 80 orang terbunuh manakala hampir 4,000 cedera.

Antara yang maut adalah Setiausaha Agung Parti Kataeb, Nazar Najarian.

Kejadian pada pukul 6 petang waktu tempatan di sebuah gudang dekat pelabuhan itu menjejaskan beratus-ratus kediaman dan bangunan berhampiran, termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri.

Pihak keselamatan Lubnan belum mengetahui punca letupan yang boleh didengari sehingga 240 kilometer iaitu sehingga ke timur laut Cyprus.

Banyak premis komersial mengalami kerosakan teruk sehingga menyebabkan ramai yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Asap tebal menyelubungi seluruh kawasan kejadian yang kini dikepung oleh pasukan keselamatan.

Punca kejadian masih disiasat.

Sementara itu, berpuluh-puluh mangsa yang cedera berlumuran darah termasuk kanak-kanak dimasukkan ke Pusat Perubatan Clemenceau.

Letupan besar ini terjadi ketika Lubnan sedang mengalami krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad yang turut menyebabkan hampir separuh penduduknya bergantung kepada bantuan kemanusiaan.

Letupan ini juga berlaku ketika Lubnan sedang menunggu keputusan pada hari Jumaat ini mengenai kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafic Hariri yang terbunuh dalam serangan bom pada tahun 2005.