Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Ketua angkatan tentera Niger dipecat, selepas dua serangan militan sehingga meragut 160 nyawa

  • Published in Berita Dunia

 

NIAMEY - Presiden Niger, Mahamadou Issofou memecat ketua angkatan tenteranya selepas berlaku dua serangan ke atas pasukan tentera yang meragut 160 nyawa.

Menerusi tindakan itu, kerajaan Niger dilihat sedang menyusun semula strategi ketenteraan bagi menamatkan ancaman militan Islam di negara itu.

Ahmed Mohamed mengetuai angkatan tentera Niger selama lebih dua tahun, dan sepanjang tempoh itu menyaksikan peningkatan serangan oleh militan Islam seperti Daesh dan kumpulan serpihan al-Qaeda.

Militan dilihat semakin berani dalam melancarkan serangan apabila bertindak pada waktu siang dengan menyerang markas dan pos kawalan tentera Niger.

Pendekatan baharu yang diambil kerajaan Niger diharap dapat menyekat pengaruh militan Islam rentas sempadan terutama dari Mali dan Burkina Faso.

Mejar Jeneral Salifou Modi dilantik sebagai pengganti Ahmed selepas mesyuarat kabinet dan diarah melaksanakan serangan ke atas kumpulan militan Islam.