Monday, 3 August 2020

updated 2:25 PM UTC, Aug 3, 2020

PKPP bermula hari ini, rakyat disaran kekal patuh SOP

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 10 Jun - Kebenaran perjalanan rentas negeri bermula hari ini menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, pelaksanaan PKPP menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi sehingga 31 Ogos.

Bermula hari ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan serta sektor ekonomi akan kembali beroperasi secara berperingkat di bawah PKPP.

Restoran, gerai makan, kedai serbaneka dan runcit yang sebelum ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam, kini dibenarkan sehingga pukul 12 tengah malam.

Bagaimanapun, pembukaan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk mengamalkan disiplin diri dan penjarakan sosial.

Dalam masa yang sama, setakat 12 tengah hari semalam, Malaysia mencatat kes COVID-19 satu angka, untuk dua hari berturut-turut dengan tiada kes penularan dalam negara melibatkan kalangan warganegara.