Monday, 3 August 2020

updated 2:25 PM UTC, Aug 3, 2020

Korea Utara bakal memutuskan komunikasi ketenteraan dan politik dengan Korea Selatan

  • Published in Berita Dunia

PYONGYANG, 9 Jun - Korea Utara bakal memutuskan komunikasi ketenteraan dan politik dengan 'musuhnya' Korea Selatan hari ini, selepas ancaman aktivis menghantar risalah anti-Pyongyang menerusi sempadan.

Ancaman itu hadir ketika hubungan kedua-dua negara itu terhenti walaupun tiga persidangan antara Presiden Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in diadakan pada 2018.

Agensi Berita Pusat Korea, KCNA melaporkan Pyongyang bakal memutus dan menutup talian perhubungan antara pihak berkuasa kedua-dua negara, yang dihubungkan menerusi pejabat perhubungan Korea Utara-Korea Selatan, serta hubungan komunikasi lain bermula 12 tengah hari, 9 Jun.

Hubungan yang diputuskan termasuk 'talian komunikasi Laut Timur dan Barat' antara tentera kedua-dua bahagian, dan talian komunikasi percubaan antara Korea, serta antara Jawatankuasa Pusat Parti Buruh Korea dan Rumah Biru Korea Selatan.

Korea Utara, minggu lepas, mengancam menutup pejabat perhubungan dengan Korea Selatan dan memberi amaran akan mengambil langkah susulan bagi memastikan Korea Selatan 'menderita'.

Kakak Jong Un, Kim Yo Jong, turut mengancam untuk membatalkan persetujuan ketenteraan yang ditandatangani kedua-dua negara, melainkan Korea Selatan menghentikan tindakan aktivis daripada menghantar risalah itu.

Yo Jong yang menggelar pembelot Korea Utara, sebagai sampah masyarakat, serta aktivis lain, sejak sekian lama menerbangkan belon merentasi sempadan yang membawa risalah mengkritik Jong Un berkaitan pencabulan hak asasi manusia dan cita-cita nuklear pemimpin berkenaan.

KCNA turut melaporkan, pihak berkuasa Korea Selatan membiarkan tindakan permusuhan terhadap Korea Utara.