Saturday, January 18, 2020
updated 12:28 PM UTC, Jan 18, 2020

Sekatan terhadap penduduk Islam di Jammu-Kashmir semakin ketara

  • Published in Berita Dunia

WILAYAH KASHMIR - Sekatan terhadap penduduk Jammu dan Kashmir memberi kesan besar kepada penduduk beragama Islam di wilayah berkenaan.

Penutupan masjid adalah antara sekatan dikenakan kerajaan India yang menjejaskan kehidupan penduduk beragama Islam di Kashmir.

Jika dahulu, azan sering berkumandang dari Masjid Jamek terbesar tiap kali masuk waktu solat, kini, bilal masjid, Mohammed Yasin Bangi hanya mengumandangkan azan dari kediamannya sebagai tanda sudah masuk waktu solat.

Jelas beliau, sekatan kepada umat Islam mengerjakan solat di masjid memberi kesan kepada penganut agama Islam di wilayah berkenaan.

Hanya surau dibenarkan beroperasi ketika ini.

Menurut Profesor Sheikh Showkat daripada fakulti sains politik Universiti Srinagar, permasalahan dihadapi penduduk Islam semakin ketara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi.

Selain menutup masjid utama di wilayah itu, tahap kehidupan rakyat di Jammu dan Kashmir semakin merosot sejak status autonomi dimansuhkan pada 5 Ogos lalu.

Kemarahan penduduk terutama penganut Islam semakin memuncak dan pelbagai pihak bimbang ia akan mencetuskan keganasan ekoran sekatan dikenakan New Delhi masih belum ditarik balik.