Monday, July 13, 2020

updated 1:31 AM UTC, Jul 13, 2020

Lelaki OKU Palestin ditembak mati polis Israel

  • Published in Berita Dunia

BAITULMAQDIS, 2 Jun - Polis Israel menembak mati seorang lelaki Palestin kurang upaya di Baitulmaqdis kerana menyangka dia bersenjatakan pistol, sekaligus mengudang kecaman daripada rakyat Palestin.

Insiden itu berlaku di lorong bertembok Old City berdekatan Lions Gate, titik akses yang sering digunakan rakyat Palestin.

Kenyataan polis Israel mendakwa, unit polis yang meronda mengesan suspek yang memegang objek yang kelihatan seperti sepucuk pistol.

Mereka mengarahkan dia supaya berhenti dan mula mengejarnya.

Ketika kejadian mengejar, pegawai juga melepaskan tembakan kearah suspek dan berjaya mengenai sasaran.

Kenyataan itu turut menyebut, tidak ada senjata ditemui di lokasi kejadian selepas digeledah.

Parti Fatah pimpinan Presiden Palestin Mahmud Abbas mengecam pembunuhan itu dan menganggap ia satu "jenayah perang".

Katanya lagi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan dianggap bertanggung jawab sepenuhnya kerana membunuh seorang lelaki muda yang kurang upaya.

Kepimpinnan Palestin menuntut, sesiapa sahaja yang membunuh lelaki tersebut dibawa ke muka pengadilan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa mengenal pasti lelaki berkenaan sebagai Iyad Khairi Hallak, seorang penduduk kejiranan Wadi Joz di Baitulmaqdis timur dan merupakan orang kurang upaya.

Sabtu lepas, lebih kurang 200 penunjuk perasaan Israel membantah berdekatan Ibu pejabat polis di Baitulmaqdis mengecam pembunuhan Khairi.