Logo

COVID-19: Iran catat hampir 3 ribu kes baharu

TEHRAN, 2 Jun - Iran mencatatkan hampir tiga ribu kes baharu jangkitan COVID-19, angka tertinggi dalam tempoh dua bulan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan negara itu, Kianoush Jahanpour mengumumkan sejumlah 2,979 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam dengan keseluruhan kes sebanyak 154,445.

Angka korban pula berjumlah 81 meningkat 18 orang berbanding Ahad lalu dengan keseluruhan 7,878 mangsa maut setakat ini.

Menteri Kesihatan Saeed Namaki pula memaklumkan, wilayah Sistan dan Baluchistan, Kermanshah, dan Hormozgan ketika ini berdepan peningkatan ketara kes jangkitan.

Menurutnya, separuh daripada jumlah kematian ini direkodkan dari tiga wilayah berkenaan.

Jika ini berterusan, angka kematian mungkin mencecah tiga angka semula.

Pegawai kesihatan sebelum ini berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap wilayah Khuzestan yang terletak berhampiran sempadan Iraq.

Khuzestan kekal sebagai zon merah, dan menjadi satu-satunya kawasan yang dikenakan sekatan semula.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.