Wednesday, May 27, 2020

updated 3:08 AM UTC, May 27, 2020

Malaysia kutuk rancangan Israel luaskan wilayah Palestin di Tebing Barat

  • Published in Berita Dunia

PUTRAJAYA, 23 Mei - Malaysia mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk memperluas wilayah Palestin yang didudukinya di Tebing Barat.

Menyifatkan tindakan itu sebagai bertentangan undang-undang serta unilateral; Wisma Putra berkata sebarang pengilhakan wilayah Palestin oleh Israel sebagai kuasa penceroboh merupakan pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva Keempat 1949 serta Resolusi PBB iaitu Resolusi 2334 (2016) Majlis Keselamatan PBB.

Tindakan Israel jelas mencabuli perjanjian damai yang ditandatanganinya dengan Palestin iaitu Perjanjian Oslo 1993 dan 1995.

Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin susulan tindakan Israel itu dan menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB melunaskan tanggungjawab terhadap rakyat Palestin yang termaktub dalam piagamnya tanpa bertangguh lagi.

Malaysia mengulangi penegasan sokongan tidak berbelah bagi terhadap penduduk Palestin dan perjuangan mereka untuk bebas daripada pencerobohan haram Israel serta merealisasikan impian penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.