Logo

PKPB: Pergerakan trafik ke ibu negara lancar

PETALING JAYA, 4 Mei - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB bermula hari ini tidak menyaksikan pertambahan mendadak bilangan kenderaan di laluan-laluan utama menuju ibu negara.

Ia mungkin disebabkan perubahan Sekatan Jalan Raya, SJR dan pembukaan semula jalan yang ditutup semasa PKP bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Wartawan Grace Aisyah Kedayan meninjau laluan SJR baharu ditetapkan IPD Petaling Jaya di Jalan Klang Lama Batu 8, menuju ke pusat bandar.

Tinjauan sejak 8:00 pagi tadi mendapati jumlah kenderaan yang memasuki ibu kota masih dalam keadaan terkawal, meski beberapa sektor ekonomi mula beroperasi hari ini.

Sekatan di Jalan Travers menghala Bangsar juga dibuka semula dan jumlah kenderaan di laluan itu tidak sesak seperti hari kebiasaan pada waktu kemuncak.

Manakala bagi kenderaan persendirian, tinjauan mendapati orang ramai akur arahan had penumpang tidak melebihi empat orang serta menunjukkan dokumen perjalanan masing-masing.

Tinjauan di Plaza Tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE); beberapa laluan lorong tol dibuka, berbanding sebelum ini hanya dua lorong beroperasi.

Namun untuk transaksi tambah nilai masih lagi tidak dibenarkan sama seperti tempoh pelaksanaan PKP.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.