Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Perdana menteri dan barisan kabinet Kuwait letak jawatan susulan pertikaian berhubung isu prestasi

  • Published in Berita Dunia

KUWAIT - Perdana Menteri Kuwait dan kabinetnya menghantar surat peletakan jawatan semalam susulan pertikaian antara mereka serta kritikan terhadap prestasi menteri.

Sheikh Jaber Mubarak Al-Sabah mengemukakan surat meletak jawatan barisan kabinet bagi membolehkan rombakan dilakukan pihak pemerintah negara.

Menteri Kewangan, Nayef al-Hajraf dan Menteri Kerja Awam, Jenan Bushehri meletak jawatan bulan ini, selepas kedua-duanya didakwa menyalahguna portfolio dan dana awam.

Pada Selasa lalu, parlimen turut mengkritik Menteri Dalam Negeri, Sheikh Khaled al-Jarrah Al-Sabah, yang juga ahli keluarga pemerintah atas tuduhan yang sama.

Menteri Penerangan, Sheikh Mohammed Al-Sabah pula berdepan undi tidak percaya selepas disiasat berhubung pelanggaran bajet dan undang-undang.

Ahli Parlimen Bebas, Saleh Ashour berkata, selain kritikan, perselisihan antara menteri berhubung komposisi kabinet semasa turut mencetuskan pengunduran terbabit.

Negara kaya dengan minyak itu berdepan pertikaian politik melibatkan penggubal undang-undang dan kerajaan selama lebih satu dekad.

Krisis itu menyebabkan parlimen dan kabinet dibubarkan beberapa kali.