Monday, December 9, 2019
updated 6:04 AM UTC, Dec 9, 2019

Kes serangan yang korbankan 15 orang di Yala, polis Thailand kenal pasti suspek

  • Published in Berita Dunia

LUAR NEGARA - Polis Thailand mengenal pasti suspek yang terlibat dalam serangan di dua pos kawalan keselamatan yang mengorbankan 15 orang di Yala pada selasa lepas.

Panglima Bahagian Tentera Darat Ke-4, Pornsak Poonsawat berkata siasatan awal polis mendapati senjata yang digunakan kumpulan suspek adalah sama dengan kes rompak sebuah kedai emas di Na Thawi, Songkhla pada 24 Ogos lalu.

Senjata sama juga digunakan untuk melarikan tiga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pattani pada 4 Ogos dan polis sedang mempergiatkan usaha menjejaki kumpulan anggota bersenjata itu.

Pihaknya juga percaya anggota kumpulan bersenjata itu turut cedera dalam insiden serangan Selasa lalu dan mereka mungkin bersembunyi dalam hutan berdekatan.

Selasa lalu, 15 individu maut manakala empat orang lagi mengalami kecederaan dalam serangan oleh kumpulan bersenjata di dua pos kawalan keselamatan di Yala.