Tuesday, June 2, 2020

updated 10:45 AM UTC, Jun 2, 2020

Singapura catat 35 kes baharu COVID-19

  • Published in Berita Dunia

SINGAPURA, 31 Mac - Di Singapura, 35 lagi kes baharu COVID-19 termasuk dua lagi rakyat Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan 879 kes di republik itu.

Tiga pesakit meninggal dunia di Singapura akibat komplikasi yang berpunca daripada jangkitan COVID-19 pada 21 Mac lalu.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura memaklumkan seorang daripada rakyat Malaysia itu adalah daripada sektor penjagaan kesihatan awam dan kini diletakkan di bawah kategori tiada kaitan domestik.

Lelaki berusia 20 tahun yang juga kes ke-853, pemegang Pas Kerja Singapura itu berada di Singapura selama dua hari sejak 16 Mac lalu.

Satu lagi kes import membabitkan lelaki Malaysia berusia 41 tahun yang juga pemegang Pas Kerja Singapura dan kini berada di wad Hospital Besar Ng Teng Fong.

Daripada 35 kes positif itu, MOH memaklumkan sembilan adalah kes import manakala 26 kes tempatan yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Sembilan kes import itu mempunyai sejarah ke Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Timur Tengah dan negara-negara ASEAN.

Sehingga kini Singapura telah mengenal pasti 12,984 kontak rapat yang sudah dikuarantin.