Logo

2 kawasan di daerah Kluang laksana PKPD

 

PUTRAJAYA, 27 - Kerajaan memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan COVID-19 di Daerah Kluang, Johor dan sebanyak 61 kes adalah di 2 kawasan tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan menjelaskan, keputusan PKPD dilaksana berikutan jumlah kes yang tinggi dan atas nasihat Menteri Kesihatan.

PKPD itu melibatkan 3 ribu 570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga.

Perintah itu berkuatkuasa hari ini hingga 9 April 2020.

Jelas beliau, tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

Langkah itu akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Bagi pelaksanaan perintah itu, semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 atau 07-7722434.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.