Tuesday, November 19, 2019
updated 5:05 AM UTC, Nov 19, 2019

Operasi mencari dan menyelamat kawasan dilanda Taufan Hagibis diteruskan

  • Published in Berita Dunia

NAGANO - Operasi mencari dan menyelamat digerakkan ke seluruh kawasan terjejas oleh Taufan Hagibis yang mencetuskan banjir serta tanah runtuh.

Lebih daripada 100,000 anggota termasuk 31,000 anggota tentera bekerja tanpa henti di dalam operasi berkenaan.

Angka kematian ketika ini melibatkan 26 nyawa dan 15 orang dilaporkan hilang namun, ia dijangka meningkat.

Paras air sungai utama di zon bencana melimpah menyebabkan kediaman penduduk ditenggelami banjir seperti di Nagano.

Helikopter jabatan bomba dan tentera digunakan untuk mengeluarkan penduduk terperangkap di Fukushima.

Bot pula mengeluarkan penghuni pusat jagaan warga emas yang diltenggelami air di Kawagoe.

Taufan Hagibis membadai pulau Honshu, Jepun sejak malam Sabtu dengan kelajuan angin mencecah 216 kilometer sejam.

Perdana Menteri Shinzo Abe berjanji melaksanakan segala yang perlu bagi membantu penduduk terjejas dengan bencana itu.

Menjelang petang Ahad, lebih daripada 110 ribu kediaman terputus bekalan elektrik dan air bersih.

Ketika puncak bencana, lebih daripada 7 juta penduduk dipindahkan dan setakat ini, 135,000 masih tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.