Monday, November 18, 2019
updated 2:49 PM UTC, Nov 18, 2019

Tidak sampai 24 jam selepas Donald Trump umum pengunduran tentera Amerika dari utara Syria, pesawat Turki mula mengebom kawasan sempadannya sebagai persediaan untuk tawan wilayah berkenaan

  • Published in Berita Dunia

TURKI - Tidak sampai 24 jam selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pengunduran tentera Amerika dari utara Syria, pesawat Turki mula mengebom kawasan sempadannya sebagai persediaan untuk menawan wilayah berkenaan.

Ia sebagai usaha untuk mewujudkan zon selamat selebar 32 kilometer hingga ke utara Syria daripada Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) yang dianggap pengganas oleh Ankara.

Sempadan Syria dengan Turki dengan jarak kira-kira 480 kilometer dari Sungai Furat di barat hingga ke Iraq di timur dikuasai sekutu Amerika; pasukan Demokratik Syria (SDF) yang majoritinya anggota YPG.

Turki menyatakan mahu menempatkan kira-kira dua juta pelarian Syria di zon selamat.

Namun, Kurdish mendakwa Turki mahu mengurangkan pengaruh Kurdish di rantau itu dengan menempatkan pelarian Arab Sunni yang kini tinggal di barat daya Turki.

Selama beberapa minggu, Turki dan Amerika berunding mengenai zon selamat berkenaan namun Ankara percaya Pentagon tidak berminat menyebabkan ia mula membuat persediaan untuk menyerang.

Rumah Putih kemudiannya mengeluarkan kenyataan Turki akan meneruskan operasi yang sudah lama dirancang di utara Syria dan tentera Amerika akan berundur.

Tindakan meninggalkan sekutu Kurdish dibuat Trump bagi memenuhi kempen pilihan rayanya untuk tidak terbabit dalam perang tiada kesudahan di rantau itu.

Trump bagaimanapun mengancam untuk memusnahkan ekonomi Turki jika ia bertindak melampaui batas.