Tuesday, October 22, 2019
updated 1:15 AM UTC, Oct 22, 2019

24 ribu pengembara direkod dalam tempoh 10 hari selepas Arab Saudi memperkenalkan visa pelancong

  • Published in Berita Dunia

ARAB SAUDI - Hanya dalam tempoh 10 hari selepas memperkenalkan visa pelancong, 24 ribu pengembara direkod mengunjungi Arab Saudi.

Dengan syarat lebih longgar, visa terbabit dijangka mencatatkan pertambahan pengunjung ke negara itu dengan ketara.

Ini kerana, sebelum ini Arab Saudi hanya mengeluarkan visa untuk jemaah haji dan umrah, pekerja asing dan pengunjung acara sukan atau kebudayaan.

Menerusi visa terbaharu itu, pengunjung dari 49 negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara Eropah layak memohon e-visa atau visa semasa ketibaan.

Ahad lalu, pihak berkuasa negara itu turut mengumumkan akan membenarkan pasangan pelancong asing yang tidak berkahwin menyewa bilik hotel bersama.

Pengenalan visa pelancong diumumkan 27 September lalu sebagai sebahagian usaha mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi selain industri minyak.

Memacu sektor pelancongan merupakan salah satu inisiatif Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bagi merealisasikan Wawasan 2030 yang bakal mempersiapkan negara itu dalam menghadapi era pasca minyak.