Monday, November 18, 2019
updated 2:49 PM UTC, Nov 18, 2019

Serangan ke atas Kurdis di Syria bakal dilancarkan pada bila-bila masa : Turki dapat lampu hijau dari Washington serang kumpulan Kurdis

  • Published in Berita Dunia


ISTANBUL, TURKI - Konflik baharu Syria bakal meletus bila-bila masa. Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, angkatan tentera Turki sudah siap sedia melancarkan operasi ke atas militan Kurdis di utara Syria tanpa sebarang amaran.

Tegas beliau, operasi tersebut bakal dilakukan selepas Amerika Syarikat memberi lampu hijau kepada Turki untuk melancarkan serangan. Konflik bersenjata Kurdis dan Turki sudah berlarutan sejak sekian lama.

Perjuangan utama Kurdis adalah mendapatkan kemerdekaan atau wilayah autonomi bagi membentuk negara Kurdistan dalam usaha mempertahankan hak budaya dan politik mereka.

Pada Ogos 1984, Parti Pekerja Kurdistan mengisytiharkan kebangkitan dan melancarkan siri serangan ke atas kepentingan Turki melibatkan pelbagai kumpulan Kurdis.

Selain Syria, kumpulan Kurdis turut bertapak di Iraq.

Turki telah melabel Kurdis sebagai kumpulan pengganas dan sentiasa berusaha menghapuskan sepenuhnya ancaman kumpulan berkenaan.

Dianggarkan, ancaman Kurdis menyebabkan Turki berbelanja antara 300 hingga USD450 bilion bagi memperkuatkan ketenteraan berdepan serangan Kurdis.

Selain itu, serangan Kurdis turut menjejaskan sektor pelancongan negara terbabit.