Monday, November 18, 2019
updated 2:49 PM UTC, Nov 18, 2019

PBB gesa rusuhan ganas di Iraq dihentikan

  • Published in Berita Dunia

BAGHDAD - Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu ke Iraq, Jeanine Hennis-Plasschaert menggesa rusuhan ganas dihentikan serta merta selepas hampir 100 orang maut manakala 4,000 lagi cedera dalam tempoh 5 hari.

Protes bermula di Baghdad dengan disertai majoriti belia yang kemudiannya merebak ke wilayah selatan negara itu.

PBB menurut wakil khas itu, sangat bimbang dan sedih dengan kematian peserta protes.

Badan dunia berkenaan turut mendesak supaya pihak bertanggungjawab menyebabkan kematian penunjuk perasaan dibawa ke muka pengadilan.

Protes berkenaan bertujuan menarik perhatian kerajaan terhadap pelbagai masalah ekonomi melibatkan orang muda serta gejala rasuah yang semakin meluas di dalam kerajaan.

Ulama Moqtada Sadr bersama 54 anggota Parlimen mendesak Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi meletak jawatan dan pilihan raya diadakan di bawah pengawasan P-B-B bagi memenuhi tuntutan orang muda Iraq.

Parlimen Iraq memberi jaminan sedia mendengar suara orang muda terutama berkaitan usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan penyediaan skim kebajikan sosial.

Sementara itu, perintah berkurung di Baghdad ditarik balik bermula Sabtu namun pasukan keselamatan tetap meningkatkan kawalan bagi mengelak rusuhan berulang.