Friday, May 29, 2020

updated 4:56 AM UTC, May 29, 2020

KDN bantah keputusan Peguam Negara, percaya LTTE sebagai pertubuhan pengganas

  • Published in Nasional

 

PUTRAJAYA, 22 Feb - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan beliau mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam, LTTE dalam senarai pertubuhan pengganas.

Menurut beliau berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti PDRM, LTTE dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Beliau mengulas gesaan Peguam Negara yang memintanya mengkaji semula kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas susulan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang didakwa menyokong LTTE.

Tan Sri Muhyiddin berkata penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan undang-undang.

Justeru katanya adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan itu.

Kerajaan Malaysia telah menyenaraikan LTTE sebagai pertubuhan pengganas sejak 12 November 2014.

Selain Malaysia beberapa negara turut mengambil tindakan sama antaranya India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.