Saturday, April 4, 2020

updated 12:21 PM UTC, Apr 4, 2020

Menteri Pertahanan ASEAN komited kendalikan jangkitan COVID-19

  • Published in Berita Dunia

HANOI, 20 Feb - Menteri Pertahanan ASEAN komited untuk saling bekerjasama dalam mengendalikan jangkitan COVID-19 yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi serta keselamatan dan kestabilan serantau.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Hanoi, Vietnam, negara anggota mengesahkan komitmen mereka ke arah meningkatkan kerjasama termasuk perubatan ketenteraan dan perkongsian maklumat.

Ini bagi memastikan persekitaran aman, selamat dan stabil.

Menteri berkenaan juga bersetuju untuk memanfaatkan Rangkaian Pakar Pertahanan Kimia, Biologi dan Radiologi ASEAN bagi meningkatkan jaringan profesional.

Dalam masa sama menggalakkan kerjasama saintifik dalam mengendalikan wabak penyakit berjangkit.

Dalam mengendalikan COVID-19, menteri berkenaan menggesa kerjasama padu menerusi pelbagai forum, termasuk Pusat Perubatan Ketenteraan ASEAN; Persidangan Ketua Turus Perubatan Ketenteraan ASEAN serta Persidangan Perubatan Ketenteraan ASEAN.

Kenyataan itu juga menggalakkan inisiatif dan cara baharu yang akan menyumbang kepada usaha ASEAN secara menyeluruh untuk menangani berita palsu berkaitan jangkitan COVID-19.