Friday, July 10, 2020

updated 4:53 AM UTC, Jul 10, 2020

COVID-19: Najis pesakit dalam sistem kumbahan boleh sebabkan jangkitan

  • Published in Berita Dunia

 

GUANGZHOU, 19 Feb - Pakar Respiratori dari Akademi Kejuruteraan China, Zhong Nanshan menyatakan sistem kumbahan dan perparitan turut menjadi punca penyebaran COVID-19.

Menurutnya najis pesakit yang dibuang dalam sistem kumbahan yang tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan jangkitan di udara.

Jelasnya virus COVID-19 yang masih aktif di najis pesakit mampu menjadi agen penyebaran wabak itu sekiranya dihidu oleh individu yang sihat.

Tambah Zhong, sebelum ini pakar penyelidik telah menjalankan kajian dengan mengambil sampel virus yang diambil daripada najis.

Mereka mendapati meskipun najis yang tercemar virus tersebut dalam keadaan kering dan disembur gas anti kuman, mampu menyebarkan virus COVID-19 apabila dihidu.

Justeru pihak hospital dan majlis perbandaran terutama di Wuhan perlu memastikan sistem kumbahan dan perparitan berjalan lancar.

Sementara itu Zhong juga menyatakan penemuan terbaharu mengenai virus COVID-19.

Katanya 1,099 kes penyelidikan inkubasi atau pengeraman virus telah dijalankan dan satu kes didapati virus dikesan dalam tempoh 24 hari, 13 kes penyelidikan mendapati virus dikesan dalam 14 hari.

Sehubungan penemuan tersebut, pihak perubatan dan kesihatan China akan mengeluarkan prosedur baharu bagi tempoh kuarantin.