Wednesday, September 18, 2019
updated 2:07 PM UTC, Sep 18, 2019

China mengumumkan senarai barangan dari Amerika Syarikat yang dikecualikan tarif tambahan

  • Published in Berita Dunia

CHINA - China mengumumkan senarai pertama barangan dari Amerika Syarikat yang dikecualikan daripada tarif tambahan menjelang pusingan baharu perundingan menamatkan perang perdagangan bulan depan.

Menurut Suruhanjaya Tarif Kastam Majlis Negara, pengecualian tersebut berkuatkuasa 17 September ini terdiri daripada 16 jenis barangan buatan Amerika Syarikat.

Pengecualian itu sah selama setahun merangkumi produk makanan laut dan peranti digunakan bagi pancaran luaran untuk rawatan radiasi pesakit kanser.

Suruhanjaya berkenaan turut akan memulangkan cukai yang dikutip ke atas 12 jenis produk seperti udang, minyak pelincir dan makanan haiwan.

Syarikat berkaitan diberi masa enam bulan bagi memohon pemulangan semula cukai kepada pejabat kastam China.

Empat produk lain dikecualikan daripada cukai namun tiada pemulangan semula cukai seperti serum susu, agen pembebas acuan, pelarut isoparaffin dan minyak berasaskan pelincir.

Senarai yang dikeluarkan pada Rabu itu tidak termasuk produk seperti kacang soya dan daging khinzir.

Beijing dan Washington terlibat dalam perang perdagangan selama setahun yang memperlihatkan kedua-dua negara mengenakan kenaikan tarif dalam perdagangan dua hala.