Friday, December 13, 2019
updated 2:49 PM UTC, Dec 13, 2019

Operasi padam api di Sumatera berdepan kekurangan air

  • Published in Berita Dunia

KAMPAR, INDONESIA - Penyelaras operasi memadam kebakaran hutan di Sumatera memaklumkan mereka berdepan kekurangan sumber air dan anggota bagi operasi di wilayah tersebut.

Setakat ini, kawasan terbakar di Sumatera merangkumi hutan seluas lima hektar memberi cabaran getir kepada pasukan terlibat dalam operasi tersebut.

Pasukan terlibat juga tidak dapat meneruskan operasi pada waktu malam berikutan risiko keselamatan kepada anggota seperti serangan haiwan dan api yang tidak kelihatan di lantai hutan.

Menurut agensi bencana Indonesia, jumlah titik panas semakin meningkat termasuk di Kalimantan walaupun operasi semakin ditingkatkan.

Sejak bulan lalu, pihak berkuasa Indonesia sudah menghantar ribuan anggota bomba dan agensi lain bagi memadamkan kebakaran.

Presiden Joko Widodo turut memberi amaran kakitangan terlibat yang gagal memadamkan kebakaran hutan akan dipecat.

Di wilayah Jambi, Sumatera, tadika diarah tutup sehingga Jumaat manakala, sekolah menengah dan rendah juga ditutup sementara bagi mengurangkan risiko kesihatan kepada pelajar.

Penduduk di wilayah terjejas dengan jerebu dinasihat memakai topeng bagi mengelak berlaku gangguan pernafasan dan masalah kesihatan lain.

Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan beberapa negara berjiran seperti Malaysia dan Singapura turut terjejas kerana jerebu.

Kualiti udara di beberapa negara serantau menunjukkan tahap sehingga sangat tidak sihat berikutan kebakaran hutan di Indonesia.