Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:44 PM UTC, Jun 23, 2018

Pesawat Pelatih RTAF Terhempas, Juruterbang Maut

  • Published in Berita Dunia

BANGKOK - Sebuah pesawat pelatih Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) terhempas ketika menjalani latihan di wilayah Tak di utara Thailand hari ini, mengorbankan juruterbang sementara pembantu juruterbang cedera parah.

Jurucakap RTAF Pongsak Semachai dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, nahas itu berlaku apabila jet L-39 itu dalam penerbangan latihan sebelum terhempas berhampiran padang golf di daerah Sam Ngao di wilayah Tak.

Juruterbang yang maut dikenali sebagai Ketua Skuadron Kruekkit Suwanno dan pembantu juruterbang Kapt Jeerasak Namwongsri cedera parah dalam insiden itu yang berlaku kira-kira 2.50 petang (waktu tempatan), katanya.

Pesawat yang mempunyai 1 enjin dan 2 tempat duduk itu baru sahaja berlepas dari pangkalan udara Wing 41 di Chiang Mai apabila insiden itu berlaku.

Semachai berkata RTAF akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden tersebut untuk mengenal pasti punca nahas.

((BERNAMA))