Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 1:31 PM UTC, May 24, 2018

Pertempuran Berdarah Di Gaza: Putin, Erdogan Lahir Kebimbangan Serius

  • Published in Berita Dunia
Foto - IHSAN

17 MEI: MOSCOW - Presiden Rusia Vladimir Putin dan rakan sejawatnya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan, pada Rabu telah melahirkan kebimbangan yang serius berhubung tragedi berdarah yang menyaksikan ramai penduduk Palestin terbunuh ketika bertempur dengan tentera Israel di Gaza, lapor agensi berita China Xinhua.

Dalam satu perbualan telefon, kedua-dua pemimpin memberikan perhatian khusus kepada tunjuk perasaan secara besar-besaran di wilayah-wilayah Palestin, yang dicetuskan oleh pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmaqdis, menurut Kremlin dalam satu kenyataan akhbar.

"Pihak Rusia menggariskan kepentingan menahan diri daripada keganasan dan keperluan mewujudkan satu proses rundingan yang efektif untuk mencari penyelesaian bersama berdasarkan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan," katanya.

Putin dan Erdogan turut membincangkan penyelesaian konflik Syria dan kerjasama Rusia-Turki dalam sektor tenaga.

Tunjuk perasaan secara besar-besaran oleh penduduk Palestin berlangsung di Gaza pada 14 Mei ketika Kedutaan AS dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, sebuah kota suci bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi.

Sekurang-kurangnya 60 penduduk Palestin, termasuk enam kanak-kanak, telah terbunuh manakala lebih 1,300 lagi cedera terkena peluru hidup dan peluru getah, kata Penyelaras Khas PBB bagi Proses Damai Timur Tengah, Nickolay Mladenov.

((BERNAMA))