Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

Protes aman menyokong Pro Demokrasi berterusan di Hong Kong

  • Published in Berita Dunia

 

HONG KONG - Protes Hong Kong pada Sabtu bermula dengan perarakan aman melibatkan guru di jalan utama bagi menunjukkan sokongan kepada kumpulan pro-demokrasi yang majoritinya digerakkan oleh golongan muda.

Tanpa menghiraukan hujan lebat, ribuan guru mengadakan protes aman dan berikar akan terus menyokong agenda pro-demokrasi sehingga pentadbiran Hong Kong memenuhi tuntutan rakyat

Polis menyatakan lebih 8 ribu guru terlibat dalam protes aman tersebut namun, penganjur mengemukakan angka berbeza iaitu 22 ribu hadir termasuk pelajar sekolah.

Mereka berarak melalui Hung Hom dan To Kwa Wan yang merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong ke Hong Kong.

Bagaimanapun, protes di Mongkok menyaksikan peserta tunjuk perasaan bertempur dengan pasukan polis.

Protes kali ini berlangsung sebagai ujian besar kepada pergerakan pro-demokrasi yang berdepan kritikan susulan insiden di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong minggu lalu.

Ketika protes tersebut, tindakan peserta menyerang dua penumpang dari China menyebabkan pergerakan pro-demokrasi Hong Kong mendapat kecaman khususnya dari Beijing dan komuniti antarabangsa yang pro-China.

Protes yang berlarutan memasuki minggu kesepuluh ini sudah mengheret Hong Kong selaku hab kewangan antarabangsa ke kancah krisis.

Beijing pula belum menunjukkan sebarang langkah jelas bagi menangani krisis tersebut walaupun sudah berulang kali memberi amaran kepada penganjur protes supaya mematuhi undang-undang atau berdepan tindakan keras.