Tuesday, February 25, 2020

updated 1:27 PM UTC, Feb 25, 2020

Malaysia sedia hantar bantuan ke Australia sekiranya diperlukan

  • Published in Nasional

Malaysia masih bersedia menghantar bantuan ke Australia yang dilanda krisis kebakaran hutan, sekiranya diperlukan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata, fokus kini lebih tertumpu kepada penghantaran bantuan ke kawasan berisiko bencana akibat cuaca kemarau di dalam negara.

Pada 8 Januari, kerajaan membuat keputusan untuk menawarkan bantuan dalam bentuk penghantaran 60 anggota penyelamat ke Australia.

Ia merangkumi beberapa agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di mana misi bantuan itu akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri memaklumkan kepada Australia bahawa Malaysia sedia menawarkan sebuah pesawat pemadam kebakaran jenis Bombardier CL-415, sebuah aset milik Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM).