Monday, November 18, 2019
updated 2:49 PM UTC, Nov 18, 2019

Usaha menyelamat migran : Pasukan SOS Mediterranee guna kapal baharu untuk misi menyelamat pertama

  • Published in Berita Dunia

 

MARSEILLE, PERANCIS - Kumpulan Hak Asasi Kemanusiaan, SOS Mediterranee menghantar kapal penyelamat baharu, Ocean Viking dari pelabuhan Marseille di Perancis untuk memulakan misi pertama menyelamatkan migran dipersisir pantai Libya.

Kumpulan itu menghentikan misi bersama kapal Aquarius pada Disember 2018 selepas dihalang kerajaan EU susulan beroperasi selama tiga tahun dan menyelamatkan 30,000 migran di laut.

Libya, yang terjebak dengan konflik saudara sejak kebangkitan 2011 membunuh diktator Moamer Ghadhafi, masih menjadi laluan transit merbahaya bagi kebanyakan migran sub-Sahara yang cuba menyeberangi Mediterranean untuk sampai ke Eropah.

Negara-negara EU tidak bersetuju untuk menangani migran dan sesetengahnya mengambil pendekatan lebih drastik, dengan tidak membenarkan kapal penyelamat berlabuh untuk mendaratkan migran yang diselamatkan.

Ocean Viking, pengganti Aquarius, berlayar dari Marseille pukul lapan malam tadi waktu tempatan.

Kapal yang mengibarkan bendera Norway yang baharu berwarna merah dan putih, dijangka tiba di tengah Mediterranean dalam masa dua atau tiga hari.

Dibiayai secara usahasama dengan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), Ocean Viking mempunyai 31 kakitangan yang akan menangani operasi menyelamat, termasuk kru, penyelamat maritim, doktor, seorang bidan dan pengantara budaya.

Bagaimanapun Ocean Viking tidak akan memasuki perairan Libya, kata kumpulan penyelamat itu.